SALAM PENUH HORMAT

Daksina merupakan sebuah kumpulan muzik lagu puisi yang telah ditubuhkan sejak 2004. Mereka terdiri daripada 4 orang adik -beradik yang cuba mengangkat lirik puisi kepada genre muzik baru ciptaan mereka.

Salam penuh hormat untuk semua.

SUNGAI SEGGET

oleh; al-Misri

Sungai ini tidak pernah menyoal dari mana ia bermula

sebab arusnya terlalu membuta menuju ke kuala

kau selalunya malang

rumpunan aur berceracak ditebing

rimbun dan cerdik inayat didikan alirmu

kini menetak mencedera akar persaudaraan

parang kesumat curiga galak berarak

lembing khianat gejolak meniup olak

keris tamak petah melontarkan perbalahan

dan darah kemelut perpecahan

mengeruhkan ceria air

menghunjam titik jingga ke dasar sejarahmu.

Sungai Segget

kau selamanya malang

pohon yang dewasa dan subur

dengan zat ikan udang sentuhan tulus luhur

kini kian mabuk dan kurang ajar

menyanggah norma langit tamadun

menyepah hikmat sambil menghulurkan

helai racun tuba

terhoyong-hayang menyusur buih tanpa haluan

cela bisanya mencemar harum suci tubuhmu.

Dan Sungai Segget yang senget

kau selamanya malang

dunia mulai belajar mencemuh dirimu

yang tak meminta kebobrokan petaka

namun, di lembah ngalirnya perlahan kerana bumi kian mendatar

dan di laut ia belum pasti ingin bercampur

sebab dirinya tawar dan badannya penuh berlumpur

dan kau lelah menterjemahkan erti budi

sambil mencari di teluk diri di mana silapnya?

No comments: